PENGENALAN

Salam sejahtera,

Blog ini merupakan suatu blog matlumat dan penerangan mengenai infertiliti atau ketidaksuburan. Terdapat banyak matlumat-matlumat sama yang anda boleh perolehi di halaman web lain. Malah bagi tujuan ini, saya telah sertakan pautan-pautan yang anda boleh layari.

Tetapi adalah menjadi harapan saya supaya anda boleh berinteraksi dengan memberi pendapat mengenai sebarang matlumat yang anda perolehi dari blog ini serta berkongsi pengalaman anda masa lalu. Dengan berlakunya pertukaran pengalaman dan pendapat, sudah pastilah ia akan dapat membantu saya dan pasangan lain kelak.

Bagi pasangan suami isteri yang mempunyai anak tanpa sebarang masalah ianya begitu mengembirakan, tetapi terdapat 1 dalam 7 pasangan yang akan menghadapi masalah ketidaksuburan. Apabila ia terjadi, ia akan menjadi satu tamparan kepada pasangan suami isteri yang terlibat.

Adalah sangat penting untuk anda mendapat matlumat yang tepat supaya doktor pakar dapat menentukan rawatan yang sesuai untuk anda. Di harap blog ini dapat membantu.

Walaubagaimanapun anda perlu diingatkan bahawa matlumat di blog ini hanya sekadar membantu anda sahaja. Anda perlu merujuk kepada doktor pakar untuk merawat anda.

Selamat melayari blog ini.

Dr Suhaimi Hassan MD(UKM) MRCOG, MRCP
Pakar Perunding Ginekologi & Perubatan Reproduksi,
Centre for Assisted Reproduction,
Nottingham,
United Kingdom
www.carefertility.com


FACTS AND MYTHS

Myth: Selalunya pasangan wanita sahaja yang menghadapi masalah infertiliti
Fakta: Bagi pasangan yang mempunyai masalah infertiliti, 40% masalah adalah disebabkan faktor lelaki dan wanita bersama dan ada sebahagianya tidak diketahui punca sebenar.Tidak kira apapun puncanya, pasangan tidak perlu menyalahkan antara satu sama lain dan perlu menghadapi bersama.


Myth: Rawatan IVF/ICSI hanya untuk pasangan yang mempunyai masalah ketidaksuburan.
Fakta: Rawtan IVF/ICSI juga digunakan oleh pasangan normal yang tidak mempunyai masalah ketidaksuburan. Antaranya bagi mereka yang mempunyai penyakit keturunan seperti thalassemia melalui proses preimplantation genetic diagnosis.


Myth: Anda gagal sebagai wanita kerana tidak boleh mendapatkan zuriat.
Fakta: Mendapat zuriat tidak bermakna sesaorang itu berjaya dalam hidup dan sebaliknya tidak bermakna pasangan wanita gagal jika tiada zuriat. ANDA PELU MENGHAYATI FAKTA INI.


Myth: Men are less upset by infertility than women
Fact : Big boys dont cry! Men often show less emotion.
Don't make mistake of thinking that men with fertility
problems are not experiencing the same upsetting
emotions that women are.

BERMULA DENGAN LOUISE BROWN.........

HANYA SATU SPERMA DAN TELUR DIPERLUKAN UNTUK DISATUKAN MENJADI ZURIAT.....tetapi ia amat sukar bagi mereka yang mempunyai masalah!

Kelahiran Louise Brown melalui proses Persenyawaan Luar Rahim (IVF) pada 1987 telah membuka lembaran baru dalam dunia perubatan reproduksi. Sejak itu teknik teknik rawatan reproduksi telah berkembang dengan begitu pesat sekali. Ini diikuti dengan teknik rawatan Intra Cytoplasmic Sperm Injection (ICSI) pada tahun 1992 di Belgium bagi pasangan lelaki yang punyai masalah sperma.

Diakhir tahun 90han pula teknik Preimplantation Genetic Diagnosis (PGD) mula berkembang di Britain untuk mengesan dan merawat pasangan yang mempunyai penyakit keturunan.

Dan akhir sekali pada awal tahun 2000 di Denmark dan Canada, rawatan In Vitro Maturation (IVM) yang berpotensi untuk memberi rawatan reproduksi yang lebih selamat dan murah mula diperkenalkan. Walaubagaimanapun teknik ini masih baru dan memerlukan penyelidikan yang lebih lanjut.

Pada awal tahun 2007, Louise Brown pula menjadi ibu tanpa sebarang rawatan. Ini juga membuktikan bahawa rawatan teknologi reproduksi berpotensi untuk memberi kesinambungan zuriat antara generasi.......

Sunday, January 20, 2008

BANK SPERMA: DIMANA KEPERLUANYA?

Dr Suhaimi Hassan

Apabila sahaja disebut pasal Bank Sperma, maka ia sering menimbulkan kontroversi. Secara rambang, apabila penulis berbincang dengan masyarakat dari pelbagai golongan, secara umum konsep bank sperma adalah terlalu samar dan tidak difahami sepenuhnya.

Apakah yang di maksudkan dengan Bank Sperma atau apakah matlamat nya? Ia mempunyai tiga matlamat asas. Pertama, matlamat asas Bank Sperma adalah sebagai pusat rujukan dan penyelarasan bagi penderma dan penerima sperma. Faktor inilah yang menyebabkan ianya menimbulkan kontroversi. Kedua, ia juga bermatlamat untuk pembekuan sperma bagi individu-individu tertentu untuk kegunaan pada kemudian hari. Ketiga, ia juga boleh dikembangkan sebagai pusat penyelidikan dan kajian sperma serta ketidaksuburan (infertiliti) yang disebabkan oleh faktor lelaki.

Apabila penulis mengajukan soalan pada pasangan yang dikaitkan dengan isu-isu ketidaksuburan atau infertiliti selalunya pasangan wanita dipersalahkan. Sebenarnya faktor lelaki menyumbangkan kira-kira hampir satu pertiga dari kesemua penyebab atau punca ketidaksuburan. Terdapat pasangan lelaki yang tidak mampu menghasilkan sperma yang mencukupi secara normal. Antaranya termasuklah ketiadaan sperma dalam cairan mani atau azoospermia, kurang jumlah sperma yang mencukupi atau oligoszoospermia dan jumlah sperma yang berbentuk abnormal terlalu banyak yang juga dipanggil teratozoospermia. Pasangan lelaki yang begini selalunya amat sukar atau langsung tidak berkeupayaan menghasilkan zuriat jika tidak mendapat rawatan.

Bagi pasangan lelaki yang punyai oligozoospermia atau teratozoospermia, kemungkinan mendapat zuriat secara normal masih ada tapi adalah tipis. Pasangan ini boleh dibantu dengan kaedah persenyawaan luar rahim atau IVF dimana telur yang dihasilkan dari rawatan pasangan wanita diberi suntikan mikro atau ICSI dengan sperma suami untuk membantu persenyawaan.

Bagi pasangan lelaki yang azoospermik pula, mereka tidak boleh mendapatkan zuriat secara normal. Sperma pasangan lelaki ini boleh diperolehi melalui cara pembedahan pada buah zakar dan jika berjaya, maka sperma kemudiannya disenyawakan dengan telur isteri juga melalui kaedah IVF dan ICSI

Bagi sebahagian lelaki azoospermik lain pula, jika tidak berjaya memperolehi sperma melalui kaedah pembedahan, mereka perlu menerima hakikat yang mereka tidak akan punyai anak sendiri . Ia juga tidak bermakna pasangan tidak boleh hidup bahagia tanpa cahayamata kerana mereka telahpun melakukan ikhtiar melakukan rawatan walaupun tidak berjaya. Harus diingatkan disini bahawa dengan mencari pasangan yang lain tidak akan menyelesaikan masalah kerana masalah yang sama tetap akan berulang dengan pasangan baru. Alternatif lain adalah samaada dengan mengambil anak angkat atau melakukan rawatan permanian hadas (intra uterine insemination) ataupun IVF dengan mengunakan sperma penderma dan disenyawakan dengan telur yang diperolehi dari isteri .

Bagi masyarakat Islam ianya jelas dimana pendermaan dan penerimaan sperma adalah haram. Mereka yang beragama Roman Katolik dan Yahudi Ortodok juga tidak dibenarkan oleh agama masing masing. Umat Islam juga dilarang menggunakan sperma suami yang dibekukan apabila suami meninggal dunia.

Walaupun pendermaan dan penerimaan sperma tidak boleh diterima oleh kebanyakan masyarakat di Malaysia namun terdapat juga golongan masyarakat yang boleh menerimanya dan kita tidak boleh mendikriminasikan mereka dan perlu menghormati cara mereka jika ianya dibenarkan oleh masyarakat mereka dan selagi ia tidak melanggar undang-undang.

Penderma sperma selalunya adalah lelaki yang sihat dan berumur antara 18 hingga 45 tahun. Secara am, mereka adalah bersifat anonymous atau tidak mengenali antara satu sama lain dengan penerima.. Mereka mestilah sihat dan tidak punyai penyakit keturunan. Sebelum dibenarkan menderma, mereka akan disaring dengan ujian saringan penyakit berjangkit saperti hepatitis B dan C, HIV, CMV, gonorrhoea dan syphilis. Mereka juga perlu melakukan ujian karyotype bagi memastikan mereka tidak punyai penyakit keturunan. Ini adalah untuk mempastikan penerima sperma atau zuriat yang dilahirkan kelak tidak menghadapi risiko penyakit berjangkit atau penyakit keturunan. Pihak Bank Sperma juga perlu mengambil latar belakang penderma termasuk sejarah perubatan dan keluarga serta sifat fizikal mereka saperti ketinggian, warna kulit, rambut dan mata serta kumpulan etnik supaya mereka akan dapat pasangkan dengan penerima sperma. Sperma akan juga dikurantin selama 6 bulan sebelum dibenarkan digunakan. Perlu diingatkan bahawa dengan melakukan ujian ujian dan pemilihan yang ketat, Bank Sperma masih tidak boleh mempastikan bahawa zuriat yang dihasilkan tidak punyai masalah kesihatan. Pasangan perlu juga faham bahawa rawatan dengan menggunakan sperma penderma tidak semestinya berjaya dan kadar kejayaannya hanyalah dalam sekitar 30 peratus sahaja dengan mengguna kaedah IVF.

Pengunaan sperma penderma boleh mengundang kontroversi. Masalah yang perlu dihadapi ialah sedikit kemungkinan anak-anak yang dihasilkan melalui kaedah ini bertemu dengan anak-anak lain pasangan yang menerima sperma penderma yang sama dimasa akan datang. Ini adalah kerana sperma penderma dibenarkan diberi kepada lebih dari satu penerima kerana tidak ramai lelaki yang ingin menjadi penderma. Kemungkinan anak anak penderma bertemu dan berkahwin dengan anak penerima juga boleh berlaku.

Di negara barat masalah ini dapat diatasi, dimana semua penderma dan penerima mengikut undang-undang disana perlu mendaftar dengan pusat pengumpulan data. Pusat ini akan dirujuk oleh anak-anak hasil dari rawatan tersebut apabila dewasa kelak untuk memastikan mereka tidak punyai talian darah. Kontroversi perdermaan sperma juga melibatkan undang-undang yang amat menyulitkan akibat dari penghasilan zuriat kelak. Ini juga menambahkan lagi kesulitan apabila sperma penderma digunakan oleh wanita tunggal yang inginkan zuriat dan juga wanita lesbian. Cara hidup begini walaupun normal bagi masyarakat di Barat, ia sama sekali tidak sesuai di negara kita.

Sperma penderma mungkin sesuai digunakan jika pasangan lelaki punyai penyakit keturunan. Ia dapat mengelak pasangan yang berpenyakit keturunan dari menurunkan penyakit kepada zuriat mereka kelak. Walaubagaimanapun sebagai alternatif, bagi masyarakat yang tidak dibenarkan menggunakan sperma penderma, mereka boleh melakukan pemeriksaan genetik sebelum implantasi atau Pre Implantation Genetic Diagnosis (PGD). Teknologi terbaru ini membolehkan pakar perubatan mengesan penyakit-penyakit genetik dalam embrio ang dihasilkan dengan kaedah IVF, sebelum pemindahan embrio dilakukan. Teknik ini dapat mengesan embrio yang tidak punyai penyakit keturunan untuk dipindahkan kedalam rahim.

Kerajaan perlu memastikan samaada pendermaan sperma dibenarkan atau tidak di negara ini. Malaysia boleh mengambil langkah saperti Jerman, Austria, Jepun dan banyak Negara Islam termasuk Turki yang mengharamkan pengunaan sperma perderma. Langkah seperti ini adalah lebih mudah kerana walaupun undang undang yang ketat boleh digubal tapi jika penyelengaraannya lemah, ia akan merumitkan lagi keadaan Di Itali pembekuan sperma samada dari penderma atau sperma suami diharamkan sama sekali.

Malaysia juga boleh mengambil langkah seperti di Amerika Syarikat dan United Kingdom membenarkan penggunaan sperma derma. Jika kerajaan ingin membenarkan pendermaan sperma, ia bukan sahaja perlu undang-undang yang ketat, tetapi juga penyelengaran yang baik supaya ia tidak disalah-gunakan. Satu lagi masalah yang akan dihadapi oleh kerajaan dimana pendermaan sperma akan menjadi satu ‘industri’ dengan pembayaran yang lumayan seperti di Eropah Timur. Kerajaan perlu juga menyediakan pusat pengumpulan data bagi mengumpul semua nama penerima dan penderma untok dirujuk oleh zuriat yang dihasilkan kelak. Malaysia boleh mengunakan model dari UK dimana semua unit yang menyediakan rawatan pendermaan sperma di kawal ketat oleh satu badan bebas. Unit unit yang tidak mengikut syarat yang ketat tersebut akan ditarik balik lesen mereka. Setiap tahun terdapat 1300 kanak-kanak lahir dari rawatan mengunakan sperma derma di UK. Undang undang di sana juga jelas dimana penderma tidak punyai apa-apa hak penjagaan terhadap anak yang akan dilahirkan kelak.

Bank Sperma juga berfungsi untuk membekukan sperma sperma bagi lelaki yang punyai masalah tertentu saperti barah. Fungsi seperti ini lah yang perlu di galakkan oleh Bank Sperma di Malaysia. Oleh kerana taraf kesihatan negara bertambah baik maka jangka hayat rakyat juga sudah meningkat. Mengikut statistik di Barat satu pertiga dari kita akan mendapat barah. Barah juga boleh terjadi pada peringkat remaja seperti barah darah seperti leukemia, dan barah linfa saperti Hodgkin Lymphoma dan barah buah zakar dipanggil seminoma. Lelaki yang mempunyai barah tersebut akan mendapat rawatan samada kemoterapi atau radioterapi. Rawatan seperti ini boleh merosakan proses pembentukan sperma. Ia boleh menyebabkan mereka menjadi oligozoospermia atau azoospermia. Jadi lelaki tersebut harus digalakkan oleh doktor untuk melakukan pembekuan sperma mereka sebelum rawatan kemoterapi atau radioterapi. Oleh kerana teknologi rawatan barah sangat baik buat masa ini, apabila pasangan lelaki sembuh kelak, sperma yang dibekukan akan dapat digunakan buat masa hadapan. Perlu di ingat, jika sperma kembali kepada normal selepas rawatan kemoterapi atau radioterapi, ia mungkin tidak sesuai digunakan lagi. Ini ialah kerana proses rawatan barah punyai potensi merosakan kandungan genetik didalam sel sel sperma dan ini mungkin menyebabkan risiko kecacatan pada bayi yang bakal dilahirkan. Bagi setengah pasangan lelaki seperti ini penggunaan sperma yang dibekukan sebelum rawatan barah adalah lebih selamat jika dibanding dengan sperma segar.

Sperma juga perlu dibekukan untuk kegunaan masa akan datang terutama bagi lelaki yang mempunyai pekerjaan yang berisiko tinggi yang boleh memudaratkan proses penghasilan sperma saperti pekerja di pusat radiasi atau setengah ahli sukan lasak seperti sukan udara dan sukan berkuda. Sudah menjadi satu trend di Barat dimana ahli sukan lasak membekukan sperma mereka kerana kemungkinan mendapat cedera pada buah zakar sangat tinggi. Apabila berlaku kecederaan, proses pembentukan sperma boleh terbantut.

Sperma juga boleh dibekukan sebelum proses vasektomi. Biasanya vasektomi dilakukan apabila pasangan merasakan keluarga mereka sudah lengkap. Ia merupakan proses kontrasepsi yang mungkin berkekalan sama seperti ‘tubal ligation’ pada pasangan wanita. Kadang-kadang situasi keluarga tidak boleh diduga seperti penceraian, punyai pasangan baru atau kematian anak. Jadi sperma yang dibeku boleh diguna sebagai alternatif dikemudian hari kelak.

Bank Sperma juga adalah sebahagian dari unit rawatan reproduktif secara keseluruhanya. Jadi ia boleh juga dijadikan sebagai satu pusat penyelidikan terutama sekali bagi meningkatkan lagi keberkesanan rawatan IVF yang disebabkan oleh faktor lelaki.

Kementerian Kesihatan Malaysia perlu mengubal undang undang khusus berhubung Bank Sperma di Malaysia. Ia juga akan mengawal penyalahgunaan fungsi Bank Sperma. Oleh kerana tiada undang-undang yang spesifik pada masa ini mengenainya maka tidak ada sebarang penyelengaraan yang sistematik bagi unit-unit Bank Sperma samaada di hospital awam atau swasta untuk berfungsi dengan berkesan.

Bank Sperma yang punyai ciri-ciri yang jelas boleh memberi manafaat kepada masyarakat. Ia juga memerlukan penyelengaraan yang sistematik untuk mengelak daripada penyalah-gunaan.

No comments: