PENGENALAN

Salam sejahtera,

Blog ini merupakan suatu blog matlumat dan penerangan mengenai infertiliti atau ketidaksuburan. Terdapat banyak matlumat-matlumat sama yang anda boleh perolehi di halaman web lain. Malah bagi tujuan ini, saya telah sertakan pautan-pautan yang anda boleh layari.

Tetapi adalah menjadi harapan saya supaya anda boleh berinteraksi dengan memberi pendapat mengenai sebarang matlumat yang anda perolehi dari blog ini serta berkongsi pengalaman anda masa lalu. Dengan berlakunya pertukaran pengalaman dan pendapat, sudah pastilah ia akan dapat membantu saya dan pasangan lain kelak.

Bagi pasangan suami isteri yang mempunyai anak tanpa sebarang masalah ianya begitu mengembirakan, tetapi terdapat 1 dalam 7 pasangan yang akan menghadapi masalah ketidaksuburan. Apabila ia terjadi, ia akan menjadi satu tamparan kepada pasangan suami isteri yang terlibat.

Adalah sangat penting untuk anda mendapat matlumat yang tepat supaya doktor pakar dapat menentukan rawatan yang sesuai untuk anda. Di harap blog ini dapat membantu.

Walaubagaimanapun anda perlu diingatkan bahawa matlumat di blog ini hanya sekadar membantu anda sahaja. Anda perlu merujuk kepada doktor pakar untuk merawat anda.

Selamat melayari blog ini.

Dr Suhaimi Hassan MD(UKM) MRCOG, MRCP
Pakar Perunding Ginekologi & Perubatan Reproduksi,
Centre for Assisted Reproduction,
Nottingham,
United Kingdom
www.carefertility.com


FACTS AND MYTHS

Myth: Selalunya pasangan wanita sahaja yang menghadapi masalah infertiliti
Fakta: Bagi pasangan yang mempunyai masalah infertiliti, 40% masalah adalah disebabkan faktor lelaki dan wanita bersama dan ada sebahagianya tidak diketahui punca sebenar.Tidak kira apapun puncanya, pasangan tidak perlu menyalahkan antara satu sama lain dan perlu menghadapi bersama.


Myth: Rawatan IVF/ICSI hanya untuk pasangan yang mempunyai masalah ketidaksuburan.
Fakta: Rawtan IVF/ICSI juga digunakan oleh pasangan normal yang tidak mempunyai masalah ketidaksuburan. Antaranya bagi mereka yang mempunyai penyakit keturunan seperti thalassemia melalui proses preimplantation genetic diagnosis.


Myth: Anda gagal sebagai wanita kerana tidak boleh mendapatkan zuriat.
Fakta: Mendapat zuriat tidak bermakna sesaorang itu berjaya dalam hidup dan sebaliknya tidak bermakna pasangan wanita gagal jika tiada zuriat. ANDA PELU MENGHAYATI FAKTA INI.


Myth: Men are less upset by infertility than women
Fact : Big boys dont cry! Men often show less emotion.
Don't make mistake of thinking that men with fertility
problems are not experiencing the same upsetting
emotions that women are.

BERMULA DENGAN LOUISE BROWN.........

HANYA SATU SPERMA DAN TELUR DIPERLUKAN UNTUK DISATUKAN MENJADI ZURIAT.....tetapi ia amat sukar bagi mereka yang mempunyai masalah!

Kelahiran Louise Brown melalui proses Persenyawaan Luar Rahim (IVF) pada 1987 telah membuka lembaran baru dalam dunia perubatan reproduksi. Sejak itu teknik teknik rawatan reproduksi telah berkembang dengan begitu pesat sekali. Ini diikuti dengan teknik rawatan Intra Cytoplasmic Sperm Injection (ICSI) pada tahun 1992 di Belgium bagi pasangan lelaki yang punyai masalah sperma.

Diakhir tahun 90han pula teknik Preimplantation Genetic Diagnosis (PGD) mula berkembang di Britain untuk mengesan dan merawat pasangan yang mempunyai penyakit keturunan.

Dan akhir sekali pada awal tahun 2000 di Denmark dan Canada, rawatan In Vitro Maturation (IVM) yang berpotensi untuk memberi rawatan reproduksi yang lebih selamat dan murah mula diperkenalkan. Walaubagaimanapun teknik ini masih baru dan memerlukan penyelidikan yang lebih lanjut.

Pada awal tahun 2007, Louise Brown pula menjadi ibu tanpa sebarang rawatan. Ini juga membuktikan bahawa rawatan teknologi reproduksi berpotensi untuk memberi kesinambungan zuriat antara generasi.......

Sunday, December 30, 2007

KANDUNGAN KEMBAR AKIBAT RAWATAN IVF

Dr Suhaimi Hassan

Artikel ini dipetik dari Majalah Wanita keluaran Mac 2007


Pengesahan berita mengandung cukup melegakan dan mengharukan terutama sekali bagi pasangan yang sekian lama berumah tangga. Tambah mengembirakan lagi jika kandungan itu adalah kandungan kembar atau berbilang (kembar lebih dari dua). Kandungan kembar kerap terjadi apabila pasangan mendapat rawatan persenyawaan bayi tabung uji ataupun Persenyawaan Luar Rahim (IVF). Walaubagaimana pun kandungan kembar berpotensi mempunyai masalah-masalah tertentu yang boleh memudaratkan ibu mahupun anak yang belum lahir.

Langkah Asas Dalam Teknik IVF

Dalam satu kitar haid, hanya satu telur dalam ovari menjadi matang dalam setiap kitaran. Jika tiada persenyawaan dengan sperma terjadi, maka telur akan musnah dan perdarahan haid akan berlaku dan seterusnya kitaran haid akan berulang setiap bulan.

Dalam teknik IVF, matlamatnya adalah untuk merangsang ovari supaya menghasilkan lebih dari satu telur untuk meningkatkan kemungkinan kehamilan berjaya. Ini dilakukan dengan cara memberi suntikan ubat setiap hari sehinggalah telur-telur di dalam ovari menjadi matang. Apabila ia matang, maka telur telur tersebut akan dikutip dengan mengunakan jarum yang halus (wanita tersebut akan diberikan pelalian yang ringan). Setelah telur dikutip, maka persenyawaan dengan sperma suami akan dilakukan dalam media kultur. Embrio akan terhasil dan ia akan dipindahkan pada rahim samada pada peringkat hari kedua , ketiga atau hari kelima persenyawaan atau dipanggil peringkat blastosis.

Proses pemindahan embrio sangat penting walaupun ianya agak mudah dilakukan. Ia memerlukan teknik dan kepakaran tertentu dengan mengunakan suatu tiub kecil yang panjang atau catheter. Ia biasanya dilakukan dengan mengunakan bantuan ultra sound. Dilema yang dihadapi oleh doktor dan pasangan adalah berapa embrio yang perlu dipindahkan kedalam rahim? Faktor inilah yang menentukan kemungkinan anda mendapat kandungan berbilang atau kembar.

Punca kandungan kembar

Dalam kehamilan natural atau semula jadi, kemungkinan mendapat kandungan kembar adalah dalam nisbah satu dalam 70 kelahiran. Ia kerap terjadi pada mereka yang mempunyai keturunan kembar atau pada kumpulan etnik tertentu. Apabila pasangan mendapat rawatan kesuburan kaedah IVF, kemungkinan mendapat kandungan kembar adalah satu dalam empat kelahiran iaitu 25%. Angka ini adalah tinggi kerana kandungan kembar berpotensi mempunyai masalah-masalah kesihatan.

Kebanyakan kembar selepas rawatan kesuburan adalah kembar tidak seiras kerana lebih dari satu embrio dipindahkan kedalam rahim walaupun ramai juga yang mendapat kembar seiras.

Jenis kandungan kembar

1)Kembar seiras adalah kembar yang terjadi apabila satu embrio (telur yang telah disenyawakan oleh sperma) membahagi kepada dua. Kembar seiras ini mempunyai cirri-ciri yang serupa antara satu sama lain dan mempunyai jantina yang sama.

2)Kembar tidak seiras pula adalah kembar yang terbentuk akibat dua embrio yang terbentuk apabila dua telur disenyawakankan oleh dua sperma berasingan. Kembar ini mempunyai kelainan ciri dan mereka boleh mempunyai jantina berlainan ataupun mungkin yang sama. Kembar jenis inilah yang selalunya terjadi akibat rawatan IVF apabila dua embrio dipindahkan kedalam rahim.

3)Kembar tiga atau lebih terjadi apabila tiga atau lebih embrio dipindahkan ke dalam rahim. Ia juga boleh terjadi apabila dua embrio dipindahkan apabila salah satu dari embrio tersebut membahagi kepada dua. Kembar tiga boleh juga terjadi secara semula jadi.

Apakah risiko anak kembar

Mendapat anak kembar adalah risiko paling kerap terjadi akibat rawatan IVF. Komplikasi semasa mengandung dan selepas kelahiran adalah tinggi jika dibandingkan dengan kandungan biasa (satu bayi).

1)Risiko pada ibu

Si ibu mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat keguguran, tekanan darah tinggi semasa hamil (pre-eclampsia), kekurangan darah (anaemia), uri di bahagian bawah rahim (placenta previae) dan juga perdarahan yang banyak semasa bersalin. Mereka juga berkemungkinan besar perlu menjalani pembedahan caesarean dan kadang-kala memerlukan bantuan forcep atau vacuum untuk bersalin.Risiko kematian ibu adalah dua kali ganda lebih jika dibandingkan dengan kandungan biasa.

Ibu yang mempunyai anak kembar juga berkemungkinan mendapat kencing manis tiga kali ganda dan 25% dari kalangan ibu kandungan kembar akan mendapat tekanan darah tinggi. Manakala kembar seiras juga mempunyai kemungkinan kecacatan kelahiran (congenital) lebih tinggi daripada biasa.

2)Risiko pada bayi

Kemungkinaan bayi mengalami masalah kesihatan, kecacatan atau mati adalah lebih tinggi kerana kebanyakan bayi adalah tidak cukup bulan (pra matang). Apabila bayi lahir tidak cukup bulan, 50% dari itu akan mengalami berat kelahiran kurang dari 2500 grams. Bagi kembar tiga pula kemungkinan berat badan kelahiran kurang dari 2500 gram menghampiri 90%. Bayi yang pre matang , kemungkinan meninggal dunia selepas seminggu kelahiran adalah 5 kali ganda lebih jika ia kembar atau 9 kali ganda jika kembar tiga jika dibanding dengan bayi tidak kembar. Bayi kembar mempunyai kemungkinan cerebral palsy (kecacatan otak) 6 hingga18 kali ganda jika dibanding dengan tidak kembar.

Mengelakkan Kelahiran Kembar Semasa Rawatan

Klinik yang merawat anda perlu mempastikan bahawa anda faham tentang risiko kandungan dan kelahiran kembar. Untuk mengurangkan risiko tersebut anda dinasihatkan menerima pemindahan 2 embrio sahaja jika anda berumur kurang dari 39 tahun dan 3 sahaja jika melebihi 40 tahun. Embrio yang berlebihan boleh dibekukan di bawah paras 196 darjah centigrate didalam cecair nitrogen. Ia boleh disimpan untuk kegunaan dan rawatan masa akan datang. Membataskan pemindahan embrio akan mengurangkan risiko anda mendapat kandungan kembar. Kajian saintifik banyak membuktikan bahawa membataskan pemindadahan embrio kepada 2 sahaja bagi wanita kurang dari 39 tahun tidak mengurangkan kemungkinan rawatan untuk berjaya tapi ia akan mengurangkan kadar kelahiran kembar.

Di negara barat, jika terdapat kembar tiga atau lebih, wanita akan diberi pilihan untuk menjalani rawatan ‘fetal reduction’ dimana salah satu atau lebih janin akan digugurkan untuk menjadikan kandungan kepada satu atau kembar dua sahaja. Bagaimana pun rawatan ini berisiko kerana ia boleh menyebabkan kandungan akan keguguran keseluruhan. Sudah tentu ia boleh memberi kesan mental kepada ibu setelah lama menanti menimang cahaya mata. Rawatan seperti ini tidak dibenarkan di Malaysia.

Untuk mengelakan masalah kembar ini, maka keputusan anda adalah penting semasa berbincang dengan doktor pakar sebelum pemindahan embrio. Jumlah embrio yang dipindahkan bukan sahaja menentukan samada kemungkinan anda mendapat anak kembar tetapi juga kemungkinan berjaya dalam rawatan. Anda sahajalah yang berhak untuk menentukan jumlah embrio yang akan dipindahkan ke dalam rahim setelah berbincang dengan doktor anda. Perlu diingatkan bahawa di negara barat seperti di Sweden dan Denmark doktor hanya melakukan pemindahan satu embrio sahaja pada peringkat blastosis tanpa mengurangkan keberkesanan rawatan malahan ianya dapat mengurangkan kelahiran kembar kepada 4.5% jika dibanding dengan 25% hingga 35% di Malaysia. Anda juga perlu faham bahawa sesetengah hospital punyai kadar kelahiran yang tinggi selepas rawatan IVF adalah kerana hospital tersebut punyai kelahiran kembar dan berbilang yang banyak. Ini juga di sebabkan oleh pemindahan jumlah embrio yang berlebihan dari sepatutnya.

Langkah langkah yang perlu dilakukan jika punyai kandungan kembar

Semasa mengandung atau pun sesudah bersalin, anda perlu perlu melakukan beberapa langkah untuk mengurangkan komplikasi kerana kandungan kembar:

1.Mengamal memakan makanan seimbang bagi mempastikan badan sentiasa sihat dan bersedia untuk menghadapi kehamilan termasuk selepas bersalin. Banyakkan memakan sayuran hijau dan buah-buahan yang kaya dengan asid folik yang penting untuk mengurangkan kecacatan kandungan.

2.Menjaga berat badan supaya tidak terlalu gemuk atau kurus kerana berat badan yang tidak sempurna boleh memudaratkan kandungan apatah lagi untuk kandungan kembar.

3.Lakukan senaman ringan dengan kerap kerana ia boleh mengurangkan tekanan mental. Kajian banyak membuktikan bahawa tekanan atau stress boleh memudaratkan kandungan.

4.Anda perlu lakukan lawatan antenatal pada peringkat awal. Pastikan anda mendapat rawatan dari pakar perbidanan. Kandungan kembar memerlukan kekerapan lawatan antenatal untuk mengesan komplikasi pada ibu dan anak dalam kandungan. Anda juga perlu membuat persedian kemungkinan bersalin secara pembedahan.

5.Kelahiran anak kembar boleh meyebabkan permasalahan emosi yang berpanjangan. Memberi susu ibu kepada anak kembar adalah satu cabaran dan pengalaman yang bukan semua wanita boleh hadapi dengan baik. Apabila salah satu dari kembar mempunyai masalah kesihatan, ini akan merumitkan lagi pada keluarga dalam menguruskan pembesaran anak. Sokongan dari keluarga termasuk ibu bapa adalah penting terutama sekali jika ini merupakan kandungan pertama.

Jika anda punyai masalah kemandulan dan memerlukan rawatan IVF, anda perlu berbincang dengan doktor pakar anda tentang risiko yang anda perlu hadapi semasa dan selepas rawatan. Anda perlu juga berbincang untuk menentukan berapa banyak embrio yang perlu di pindahkan kedalam rahim disamping membekukan embrio yang berlebihan untuk kegunaaan akan datang.

Matlamat rawatan IVF bukan sahaja untuk mendapat zuriat tetapi juga untuk mendapat anak yang sihat. Ini boleh di perolehi jika anda membataskan jumlah embrio sebelum pemindahan embrio untuk mengelakan kandungan berbilang.

No comments: